SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Balleh menjadi sekolah pertama yang memiliki teknologi sistem air alternatif yang dikenali sebagai Source Hydropanels.
Menurut Pengurus Projek Gabungan Binaan Jurutenaga Sdn Bhd (GBJSB), Joe Mclaren Tommy sistem itu yang hanya menggunakan tenaga solar.
Ia merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat mereka dalam membantu sekolah luar bandar mendapat bekalan air minuman yang bersih.
“Source Hydropanels ini merupakan teknologi yang digunakan di Amerika Syarikat (AS) mempunyai dua panel, sangat mudah diselenggara dan tidak memerlukan ruang yang besar, infrastruktur sokongan dan seratus peratus berfungsi hanya menggunakan tenaga solar.
“Setiap satu panel dapat menghasilkan sebanyak 30 liter air dalam satu-satu masa dan sistem air ini turut dilengkapi penapis yang mengandungi magnesium dan kalsium bagi menambah nutrisi air yang diminum oleh pelajar, guru dan warga sekolah,” katanya kepada TVS semasa proses pemasangan Source Hydropanels di SMK Balleh baru-baru ini.
Katanya, sistem ini berfungsi dengan mudah dan ringkas seperti menggunakan PV Panel iaitu photovoltaic untuk menjana elektrik bagi kompenan-kompenan seperti pam dan kipas untuk menyedut udara dan juga solar termal yang berfungsi menyerap wap untuk menjadi air tulen yang kemudian diserap, ditakung di dalam tangki sebanyak 30 liter bagi satu panel.
“Dari tangki air disalurkan ke dispenser yang ada penapis air mengandungi kalsium dan magnesium bagi proses mineralisasi bertujuan menambah zat dan nutrisi air,” tambahnya.
Joe menjelaskan syarikat mereka mengambil tahu tentang kepentingan pelajar di sekolah luar bandar mendapatkan air minuman yang bersih bagi membantu mereka dalam proses tumbesaran dan meningkatkan kualiti kesihatan.
“Kebanyakan kawasan luar bandar di Sarawak masih diliputi hutan tebal yang menghijau, mempunyai tahap kelembapan yang tinggi serta keadaan ini sangat bertepatan dengan kriteria yang diperlukan oleh Source Hydropanels,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia memberitahu usaha yang dijalankan GBJSB itu juga selari dengan polisi kerajaan ke arah pembangunan teknologi hijau dan sumber tenaga alternatif yang boleh diperbaharui bagi mengekalan kelestarian dan kemampanan alam sekitar.
“Kami berharap supaya sistem seperti ini tidak terhad kepada sekolah di luar bandar tetapi boleh dibangunkan di kawasan kampung dan rumah panjang yang masih memerlukan sumber alternatif air bersih,” tambahnya.
Katanya, sebelum ini perbincangan di antara GBJSB dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) telah diadakan dan keputusan dibuat untuk memilih SMK Balleh bagi pelaksanaan projek berkenaan.
GBJSB adalah syarikat berdaftar yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan elektrik dan mekanikal, bangunan, kejuruteraan awam dan kerja-kerja pembinaan bangunan.
Syarikat ini juga berada pada kedudukan yang baik untuk menyediakan perkhidmatan yang responsif, berkesan dan berkualiti tinggi secara konsisten.
Sumber – TVS