SEB catat kadar frekuensi kecederaan kehilangan masa 0.529 setakat Sept

  • 1 year ago
  • 1

KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) mencatatkan kadar frekuensi kecederaan kehilangan masa 0.529 melebihi sasaran iaitu 0.5 setakat September tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB Sharbini Suhaili berkata, kadar terbabit tidak begitu menyenangkan, namun jumlah kemalangan menunjukkan penurunan dalam tempoh 10 tahun lalu.

“Kita mencatatkan satu kemalangan yang melibatkan kematian awal tahun ini. Maka itu, budaya mementingkan keselamatan harus diambil perhatian dan banyak lagi yang perlu dilakukan dalam usaha kita menggalakkan struktur keselamatan yang kukuh,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Jamuan Malam Anugerah Program Transformasi Kontraktor (CTP) SEB di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Hadir sama, Naib Presiden Kumpulan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar SEB Marconi Madai.

Tahun lalu, kata Sharbini, SEB memperkenalkan lima teras utama di bawah Kecemerlangan Sarawak Energy 2020 yang turut merangkumi bidang Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE).

“Tujuannya adalah untuk memastikan semua kakitangan dan kontraktor menuju ke arah objektif yang sama dalam menjalankan tugas atau kerja di lapangan.

“Aspek mementingkan keselamatan ini harus ditanam dalam hati dan minda semua pihak sebagai nilai yang akan mendorong kepada tingkah laku sekali gus menjadikannya sebahagian daripada budaya kita yang mengutamakan keselamatan,” katanya.

Bagi mencapai kecemerlangan HSE, tambah Sharbini, ia perlu mempunyai empat elemen iaitu kepimpinan, sistem dan struktur, kecekapan serta budaya dan sikap.

“Oleh sebab itu, jika kita fokus kepada pematuhan keselamatan dalam organisasi, saya percaya kita mampu mencapai budaya keselamatan yang mantap dan proaktif,” katanya.

Sehubungan itu, Sharbini memberitahu, SEB kini berusaha meningkatkan kesedaran keselamatan di luar organisasi mereka.

“Ini merangkumi semua pihak yang bekerja dengan SEB. Keselamatan kontraktor merupakan satu kewajipan kerana mereka adalah golongan yang berisiko terdedah dengan kemalangan apabila menghabiskan masa kerja di lapangan.

“Justeru, kita harus membentuk gabungan kepimpinan bagi memastikan keselamatan diamalkan di semua peringkat. Ini selari dengan CTP yang sedang dilaksanakan bagi mencapai sasaran Kecemerlangan HSE,” ujar beliau.

Pada majlis itu, Sharbini turut melancarkan logo CTP SEB serta menyampaikan sijil pengiktirafan kepada 19 kontraktor yang mengambil bahagian dalam program tersebut.

Dua daripada 19 kontraktor terbabit iaitu Gabungan Binaan Jurutenaga Sdn Bhd dan Hii Hua Chuon Electrical Works masing-masing dianugerahkan dengan Trofi Emas

Sumber : Utusan Borneo

Join The Discussion

Compare listings

Compare